Friday, April 17, 2009

SUKHWAH

Alhamdulillah.

Pada tarikh 11 April yang lalu, kami telah berjaya mengadakan salah satu program yang telah dirancang sejak awal semester; Sukan Ikhwah a.k.a SUKHWAH.

Pada malam sebelumnya, kami berkumpul untuk Mabit bersama-sama di Masjid. Pengisian pada malam itu berkisar tentang kematian dan kubur sebagai nikmat bagi orang beriman dan azab bagi yang kufur.

Keesokannya, kami bangun seawal pagi, ketika udara masih segar berhembus, dan ketika suasana masih hening dan sunyi dari hiruk pikuk kegiatan manusia. Bangun untuk mengadap ALLAH, Rabbul Jalil. Sedaya mungkin cuba untuk menghayati qiamullail yang dilaksanakan secara sendirian, memohon ampunan atas segala dosa dan keterlanjuran yang dilakukan saban waktu, walaupun hidup ini dikelilingi dengan rahmat dan nikmat dari NYA.

Ya ALLAH, ampunkanlah kami...

Seusai solat Subuh, ma`thurat dibacakan secarakan berjemaah. Kemudian akhi MAS mengisi slot tadabbur. Isinya berkisar tentang pengabaian dosa-dosa kecil. Sedangkan peringatan dari baginda Nabi, dosa kecil yang dihimpunkan dapat menghapuskan amal, sebagaimana ranting-ranting kecil yang dikumpulkan untuk menghidupkan api akhirnya dapat menyalakan api yang maraknya dapat memasak roti.

Mengapa demikian? Kerana kebiasaannya kita sering diingatkan dengan dosa-dosa besar, tetapi amat jarang kita mengambil perhatian terhadap dosa-dosa kecil sehingga selalu terlanjur melakukannya tanpa kita sedari.

Ya ALLAH, ampunkanlah kami...

Sungguh, suatu peringatan yang sangat bermanfaat.

Selesai sarapan, SUKHWAH dimulakan.

Optimus Prime

Kami dibahagikan kepada empat kumpulan. Kumpulan saya diberi nama 'Optimus Prime', diilhamkan daripada baju salah seorang ahli kumpulan.

Acara dimulakan dengan sukaneka; mengisi air ke dalam botol, lari berpasangan dalam kain pelikat (menggunakan kain pelikat sebagai pengikat) dan lari berpasangan dengan mengikat kaki.

Kemudian rehat sebentar sebelum acara kemuncak dimulakan; FUTSAL!!!

Saat yang dinanti-nantikan tiba. Game dilaksanakan dalam bentuk liga. Ertinya satu kumpulan dipertemukan dengan semua 3 kumpulan yang lain. Game berlanjutan sehingga matahari meninggi dan pancaran cahayanya menghasilkan haba yang agak tinggi. Sehingga ada kalangan peserta yang masuk ke gelanggang sambil menutup kepala dengan kain pelikat, dek panasnya mentari yang memancar.

Kendati demikian, semua peserta menunjukkan wajah menandakan kepuasan kerana dapat bermain dengan penuh kesungguhan di samping merapatkan ukhwah, terutama dengan ikhwah yang jarang dapat bertemu, antara yang lama dan yang baru.

Alhamdulillah...

Majlis tamat pada kira-kira jam 11 pagi dengan acara penyampaian hadiah, makan tengah hari dan bacaan doa. Walaupun kumpulan kami mendapat tempat ke-3 keseluruhan, namun program seperti ini benar-benar meninggalkan kesan, terutama untuk yang jarang turun bersukan seperti ... (?)

Seorang Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai ALLAH daripada Mukmin yang lemah. Dan pada kedua-duanya ada kebaikan. (HR Muslim)

Ya ALLAH, ampunkanlah kami...


No comments:

Post a Comment