Tuesday, March 31, 2009

Daurah di Semenanjung Tanah Melayu

Alhamdulillah

Baru pulang dari menghadiri daurah di Semenanjung.

Aku diamanahkan untuk menyampaikan bahan Ushul al-Ísyrin. Memberi pendedahan dan kefahaman kepada para peserta (dan urusetia juga) tentang ushul 20 yang dibahaskan oleh Imam asy-Syahid Hassan al-Banna dalam Risalah Ta'lim beliau.

Bukan suatu yang mudah...

Pertama, kerana aku sendiri belum habis menghadamkan ushul tersebut, dan kedua kerana aku sendiri belum punya kefahaman yang jitu berkaitan tajuk yang perlu dibentangkan.

Namun, amanah itu aku pikul jua.

Dan, alhamdulillah, sekadar yang ku termampu, aku sampaikan, dan apa-apa yang tidak aku fahami, terus saja; 'Wallahu a'lam' ! Kerana memang demikian seharusnya adab seorang penuntut ilmu, mengatakan tidak tahu pada suatu perkara yang memang dia bukan ahlinya. Faedah lain ialah aku sendiri dapat meningkatkan kefahamanku dalam beberapa perkara yang kabur sebelum ini, alhamdulillah.

Program ini benar-benar memberi manfaat yang besar buatku.

Bertemu dan merapatkan lagi ukhwah dengan beberapa orang ikhwah yang jarang dapat bersua kerana faktor jarak, di samping bertukar-tukar idea melalui beberapa sesi diskusi yang diadakan.

Daurah hujung minggu itu ditamatkan dengan sebuah kepuasan.

Sebagaimana datang, aku pulang menaiki pesawat Air Asia. Cuma suatu kelainan apabila aku menempah Nasi Briyani melalui internet untuk sarapan! "Alang-alang." Beritahuku kepada seorang ikhwah. Sekadar mencuba.

Hujung minggu kali ini benar-benar terisi dengan program yang bermanfaat.

Sunday, March 22, 2009

Seminar Dakwah 01

Alhamdulillah...
Semalam telah tamat program seminar yang melibatkan ikhwah-ikhwah dari beberapa insititusi di Sarawak.

Program berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah besar yang mungkin mengendalakan perjalanan program.

Alhamdulillah, segala puji, puja dan syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH yang memudahkan segala urusan.

Selain menambahkan kefahaman dalam perkara basic berkaitan aqidah dan dakwah, para peserta juga dapat mengeratkan ukhwah islamiyah sesama mereka. Ada yang telah lama berkenalan namun kerana kekangan masa dan pelbagai program lain, jarang berjumpa. Ada yang baru berkenalan, namun ukhwah yang ditunjukkan sangat terkesan di hati.

Teringat ukhwah yang dicontohkan oleh para sahabat pada zaman Nabi...

Ketika kaum Muhajirin tiba di Madinatul Munawwarah, mereka disambut penuh kehangatan oleh kaum Anshar; Aus dan Khazraj, sedangkan majoriti dari mereka baru pertama kali berjumpa! Keakraban dan ikatan hati yang ALLAH tautkan antara mereka, sehingga sanggup menyerahkan harta, rumah, hatta isteri, diabadikan dalam al-Quran, dan kemuliaan yang mereka tunjukkan lewat ikatan persaudaraan itu dibaca, ditadabburi dan dihayati sehingga hari kiamat; selagi al-Quran belum diangkat...


Dan orang-orang yang telah menempati kota Madinah dan telah beriman (Anshor) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Anshor) menyintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin). Dan mereka (Anshor) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa yang diberikan kepada mereka (Muhajirin); dan mereka mengutamakan (orang-orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. Dan siapa yang dipelihara dari kekikiran dirinya, mereka itulah orang orang yang beruntung.
(surah al-Hasyr; 59:9)

Kemudian ALLAH mengajarkan juga agar kita memohon kepada-NYA, dalam usaha mengekalkan tautan hati ini atas dasar iman...


Dan orang-orang yang datang sesudah mereka (Muhajirin dan Anshor), mereka berdoa: "Ya Rabb kami, beri ampunlah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman lebih dulu dari kami, dan janganlah Engkau membiarkan kedengkian dalam hati kami terhadap orang-orang yang beriman; Ya Rabb kami, Sesungguhnya Engkau Maha Penyantun lagi Maha Penyayang."
(surah al-Hasyr; 59:10)

Mudah-mudahan ukhwah ini berkekalan atas jalan tarbiyah yang telah ditempuh ini, sehingga hari kita semua bertemu dengan-NYA...


Wednesday, March 18, 2009

Assalam'alaikum

Bismillahirrahmanirrahim...

tiada apa-apa yang istimewa pada blog ini...

tiada apa-apa yang disajikan buat tatapan pembaca...

blog ini hanya diwujudkan, sebagaimana namanya...

untuk test template saja...